Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mempersoal usaha kerajaan membela nasib rakyat Palestin sebagai biadap dan tidak berperikemanusiaan. 

Berucap merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin, Perdana Menteri dalam nada sinis berkata, kumpulan berkenaan tidak layak memperjuangkan perkara itu, selain menegaskan keadaan sedemikian tidak boleh dibiar berterusan.

“Ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak semalam, sebenarnya saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah. 

“Sarjana terbabit kata kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Ini pandangan paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan. 

“Orang begini tidak layak menjadi rakyat yang faham dengan isu ini. Mujurlah ini suara kerdil dan kalau kita izinkan berterusan, ia akan membiak dan menjadi barah. 

“Apa sahaja fahaman melampau, jangan kita biarkan dan kalau ia (kenyataan ekstrem) diizinkan akan menjadi barah, termasuk suara penentu,” katanya pada majlis Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Selasa lalu, seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak, Francis Paul Siah menerusi kenyataan di Facebooknya, mempersoal tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.

Pemimpin Gerakan Perubahan Sarawak (MoCS) itu antara lain menggesa kerajaan negeri tidak membenarkan warga Palestin terbabit menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

Kenyataan MoCS itu turut disokong satu lagi NGO dari Sarawak iaitu ‘Malaysia Action Justice and Unity’ yang turut mengemukakan desakan sama.

Sementara itu, Perdana Menteri menasihati orang ramai supaya tidak terbuai dengan slogan diketengahkan sesetengah pihak, menggunakan isu Palestin sebagai modal politik.

“Tak mungkin (isu) nyawa terkorban dan kemusnahan yang berlaku saban hari, tidak mungkin diizinkan orang yang ada hati nurani, untuk menjadikan isu ini sebagai mainan, sepak terajang politik.

“Ini kerana, orang paling kuat menentang kezaliman Israel (sebelum ini) masih mengizinkan perdagangan langsung dengan syarikat Israel, seperti yang berlaku di negara kita.

“Sebab itu, Kabinet di bawah Kerajaan MADANI secara sebulat suara setuju menghentikan segala bentuk perdagangan langsung (dengan Israel).

“Orang yang mengizinkan perdagangan langsung dengan Israel itu kemudian mencerca kerajaan kerana ada hubungan dengan beberapa syarikat yang ada kaitan dengan Israel,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menggesa pemimpin kerajaan terdahulu memperjelas pembabitan secara langsung bersama syarikat berdaftar dengan Israel ketika menerajui pentadbiran negara.

“(Mereka) perlu menjawab mengapa ketika mereka terlibat dengan tampuk penguasaan, mengizinkan perdagangan secara terus dengan Zim dan syarikat Israel. Ini isu pokok yang perlu dijawab,” katanya.-BH Online