Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Kerajaan memberi tumpuan kepada empat pintu masuk utama negara untuk mengekang penularan cacar monyet atau Mpox di negara ini. 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan tiada pengunjung bergejalan wabak itu ketika memasuki negara.

Empat pintu masuk utama berkenaan adalah Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN juga akan melakukan pemantauan khusus di beberapa `laluan tikus’ di sempadan negara terutama sekitar Sungai Golok, Kelantan menerusi kawalan keselamatan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA). 

“Daripada 141 pintu masuk, tiga perempat daripada kemasukan pengunjung adalah menerusi KLIA, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, manakala baki satu perempat menggunakan laluan lain. 

“Justeru, keutamaan kita adalah empat pintu masuk utama itu (kerana) laluan lain (yang tidak sah) itu kita kenal pasti sebagai laluan tikus (iaitu) laluan yang kita tahu jumlah dan lokasi. Itu adalah di bawah pengawasan, kalau polis di bawah PGA,” katanya ditemui selepas hadir Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka. 

Saifuddin berkata, walaupun penularan Mpox dalam negara disifatkan sangat terkawal ketika ini, kerajaan tetap mengambil pendekatan berwaspada. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan jangkitan virus berkenaan di Republik Demokratik Congo didapati mula merebak ke negara jiran.-BH Online