Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UMNO perlu melakukan anjakan seiring perubahan dinamika politik negara ketika kepesatan dan perkembangan teknologi berupaya mempengaruhi arah fikiran dan sokongan rakyat. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika mengambil kira tempoh 62 tahun UMNO memerintah negara sama ada di bawah Parti Perikatan atau Barisan Nasional (BN), jelas sekali parti bertanggungjawab dalam mencorakkan hala tuju kepada masa depan negara.

Namun beliau berkata senario dan realiti politik hari ini sudah berubahd, di mana usaha melakukan anjakan, UMNO juga masih perlu sentiasa untuk bersedia menghadapi perkembangan teknologi terutama AI (kecerdasan buatan).

“Ini hakikat baharu politik. Kita tak boleh lari daripada realiti sekarang bahawa ini adalah dunia digital (dan) ini adalah dunia teknologi baharu. Jadi kita mesti mempergunakan (AI). 

“Kita mahu 20 tahun mendatang supaya anjakan disarankan (penguasaan terhadap dunia digital) mesti dibuat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, realiti hari ini juga menuntut masyarakat untuk melakukan anjakan sosial, bertujuan membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai keterangkuman dan inklusif, melewati sempadan agama, bangsa dan budaya.

“Anjakan sosial ini satu cerminan terhadap peralihan norma nilai dan sosial yang lebih baik untuk memandu masyarakat khususnya untuk membawa UMNO, menjadi parti yang memenuhi aspirasi keadilan sosial. 

Saban hari, katanya didengari kes pembunuhan kejam dan UMNO mesti tampil dengan pendekatan baharu dan menyantuni masyarakat.

“Kemalangan melibatkan kematian, 62 peratus kemalangan maut dan yang melibatkan penunggang motosikal, jumlah kematiannya adalah 6,000 setahun. Sebanyak 90 peratus dari kemalangan dan yang meninggal ini adalah anak Melayu dengan kadar usia kematian semakin menurun seawal usia 13 tahun.

“Jadi, Pemuda dan Puteri perlu tampil untuk tangani isu kebejatan sosial selain isu siber buli dan buli digital. Kita mesti menjuarai kempen untuk mengurangkan kebejatan sosial, begitu juga dalam isu perceraian di usia muda,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meluluskan pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita MARA.

Sementara usul menaikkan usia Puteri UMNO dari 35 tahun ke 40 tahun, kata beliau akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan parti dan Majlis Tertinggi UMNO. 

“Sumbangan masyarakat Orang Asli di seluruh negara begitu besar dan dengan ini saya mengambil keputusan bahawa Datuk Ramli Mohd Noor yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands akan duduk dalam MKT,” katanya.-BH Online