Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dungun: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membawa cadangan daripada Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkaitan kadar elaun tugas atas panggilan atau ‘on call’ kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya berpendapat, kadar elaun itu perlu dinaikkan.

“Saya sangat menyokong dan pastinya saya akan mengemukakan syor ini kepada Perdana Menteri supaya elaun ini dipertimbangkan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan permintaan daripada HDK yang menggesa kerajaan supaya menyemak kadar elaun tugas atas panggilan yang tidak disemak lebih sedekad, bagi mengekalkan kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara.

HDK dipetik berkata, walaupun ada penyelarasan gaji untuk kakitangan awam, terdapat keperluan mendesak bagi menyemak semula elaun atas panggilan untuk doktor.

Menurut HDK, kadar elaun itu kali terakhir disemak ialah pada 2012.-BH Online