Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan hibrid di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada September depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahir Hamidi, berkata setiap parti komponen BN dan Kerajaan Perpaduan akan diberikan segmen masing-masing dalam membantu kempen di PRK berkenaan.

“Oleh kerana terdapat 35 peratus daripada 66,000 pengundi di DUN Mahkota terdiri pengundi Cina, kita santuni parti-parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan untuk memobilisasi jentera.

“Untuk itu ada segmen tertentu kita berikan kepada DAP dan ada segmen lain diberi kepada MCA. 

“Begitu juga terdapat lebih 8,000 pengundi India dan kita minta MIC gerakkan jentera mereka bersama kepimpinan ahli India dalam PKR,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi tinjauan mesra Program Ekplorasi TVET di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya selepas DAP Johor menyatakan kesediaan membantu kempen BN di PRK DUN Mahkota.

Terdahulu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata DUN Mahkota berada di bawah Parlimen Kluang, yang diwakili Wong Shu Qi daripada DAP.

Beliau yang juga Timbalan pengerusi DAP Johor, berharap bantuan partinya nanti akan dapat melancarkan kempen PRK DUN Mahkota dalam usaha memastikan kerusi itu kekal diwakili parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Kulai, turut berharap PRK DUN Mahkota tidak dicemari isu berkait Raja, agama dan kaum (3R).-BH Online