Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu menjadi Pengerusi ASEAN yang dilihat mampu menyelesaikan masalah geopolitik yang dihadapi negara di rantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia mahu memainkan peranan itu dengan berkesan.

“Seluruh dunia melihat negara kita. Seluruh dunia mahu melihat Malaysia menjadi Pengerusi (ASEAN) yang berkesan, yang boleh menyelesaikan masalah Laut Cina Selatan, (masalah) di Myanmar dan persempadanan laut negara dalam seluruh kawasan Asia Tenggara.

“Ini tanggungjawab besar terhadap Malaysia yang perlu kita jayakan bersama,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad menegaskan Malaysia mahu menganggotai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bukan untuk bersama dalam triti pertahanan, tetapi menjurus kepada kepentingan ekonomi.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) BRICS adalah 37 peratus daripada KDNK dunia, selain membabitkan 41 peratus populasi penduduk dunia.

“Ia bukan satu kumpulan yang memerlukan kita menandatangani apa-apa triti. Ia kumpulan tidak rasmi untuk kita menyuarakan bagaimana pihak Selatan Global yang sekian lama dianaktirikan dan memastikan suara di Selatan ini didengar masyarakat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh mengenai Palestin, Mohamad menegaskan Malaysia akan terus membawa suara perjuangan rakyat negara itu di semua pentas dunia.

Dukungan Malaysia kepada perjuangan Palestin bukan baharu, yang mana negara sudah mula menyuarakannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Israel ditubuhkan pada 1948.

“Kekejaman ini bukan bermula pada 7 Oktober (2023). Rakyat Palestin sudah dibunuh, dihalau dan lari dari tanah air kerana rumah mereka dibakar sejak 75 tahun lalu.

“Ramai keliru yang ia bermula pada 7 Oktober (2023), maka bercakaplah mereka yang kononnya sebagai pendukung hak asasi manusia, Zionis berhak pertahan diri. 

“Tidak (benar)… mereka tidak melakukan keganasan, mereka mahu mendapatkan tanah air mereka semula,” katanya.-BH Online