KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong usaha menghimpunkan kekuatan pimpinan dunia Islam bagi menghentikan kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata usaha menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu dibincang semasa beliau menerima kunjungan hormat Setiausaha Pertahanan Industri Pertahanan Turkiye, Prof Dr Haluk Gorgun di Perdana Putra dekat sini petang tadi.
“Malaysia menyokong usaha ini bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya, supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata pada pertemuan itu, beliau dan pemimpin Turkiye turut berbicara panjang mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan, selain pembabitan Malaysia menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad dalam pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul.
“Pastinya kami turut membincangkan situasi dan perkembangan semasa terkait penderitaan saudara kita di bumi Palestin, selain usaha menghimpun kekuatan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar OIC, yang diusulkan Turkiye,” katanya.-BH Online