Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama membuat pemetaan utiliti bawah tanah bagi mengelakkan insiden tidak diingini, terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pemetaan utiliti itu penting bagi melihat keadaan di bawah tanah, kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

“Saya sebagai Ahli Parlimen telah terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar TNB contohnya, tapi tiada dalam peta.

“Jadi, saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tapi juga pemetaan utiliti. Saya serahkan kepada Datuk Bandar dan sudah pasti kami dalam kalangan Ahli Parlimen akan menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Gotong-royong Mega Merdeka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Program pembersihan secara serentak melibatkan 11 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Sementara itu, Maimunah berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dengan semua agensi yang mempunyai utiliti bawah tanah untuk berbincang mengenai pemetaan utiliti bagi mengelakkan insiden tanah jerlus seperti yang berlaku di Jalan Masjid India, semalam.

“Saya telah pun melihat bahawa kita ada GIS (Sistem Maklumat Geografi), selain itu kita perlu ada pemetaan, bukan sahaja dari segi utiliti, pemetaan dari segi kemudahan-kemudahan DBKL juga diperlukan.

“Contohnya kawasan lapang, mana yang telah diwartakan dan mana yang telah pun yang ada vandalisme, mana yang perlu dinaik taraf,” katanya.

Insiden jam 8.20 pagi semalam menyaksikan seorang warga wanita India, Jayaletchumy, 48, tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan bersama keluarganya di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Dalam pada itu, Maimunah memaklumkan DBKL telah memetakan 35 lokasi hotspot banjir setakat ini.

“Sebelum ini ada 21 hotspot banjir dan disebabkan perubahan cuaca, kita dalam beberapa hari yang lalu telah melakukan perbincangan dan melihat ada 14 hotspot lagi yang dikenal pasti,” katanya.-BH Online