KUALA LUMPUR: Dewan Merdeka hening seketika sambil lensa pantas mencari paparan linangan air mata menuruni pipi perwakilan UMNO tatkala mendengar puisi diungkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada akhir ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2024, petang ini.
Bait-bait puisi yang ditujukan khas buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu meruntun perasaan dan menyentuh hati semua – daripada barisan pucuk pimpinan di atas pentas, hadirin di segenap penjuru dewan dan pemerhati di hadapan skrin besar ruang legar.
Meminta kamera menghala ke sosok anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, yang turut menghadiri persidangan, Ahmad Zahid memaklumkan bekas Presiden UMNO itu berkirim salam kepada semua menerusi anaknya yang sempat ke Penjara Kajang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Memandang ke arah Nooryana yang dipanggil Gina, Ahmad Zahid berkata: “Gina, Uncle ada puisi bertajuk Puisi Buat Sahabat.”
‘Puisi Buat Sahabat’ berkumandang dengan iringan muzik instrumental bernada sayu, diselangi beberapa slaid gambar mengimbas kenangan Ahmad Zahid bersama Najib ketika sama-sama mengemudi pentadbiran negara dan UMNO.
PUISI BUAT SAHABAT
Sahabatku,
Saat kita lewati liku perjuangan ini,
Kau tebas denai dengan ketajaman fikiranmu,
Kau atur gerak dengan tangkas langkahmu,
Kau angkat darjat bangsa dengan kudratmu…
Sahabatku,
Saat kita mula mengatur langkah,
Kau ada dihadapanku menunjuk arah,
Kau tabah mengimami jemaah,
Kau kukuhkan ikatan ukhwah
Sahabatku
Tatkala kau duduk di empuknya kerusi kuasa
Kau sentiasa bingkas berdiri,
Membela nasib anak bangsa
Kau perah keringat menabur jasa
Ibarat lilin,
Membakar diri menerangi gelita…
Sahabatku…
Tiada yang lebih meruntun hati,
Apabila mengenang pada saat dan ketika ini,
Dirimu terkurung di sebalik jeriji besi
Bertemankan tembok dingin dan sepi…
Mengundang resah dan rindu kami…
Akan sosok tubuhmu
yang sering menemani…
Sahabatku…
Sebagai bukti sahabat sejati
Ku ikat diriku dengan ikrar dan janji
Ku susun langkah dengan bestari
Bagi memastikan engkau kembali
Kembali bersama ke pangkuan kami
Moga terbuka semua pintu hati
Moga usaha kami diredhai Ilahi
-BH Online