Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menyekat mana-mana organisasi media dalam membuat liputan.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan menghubungi pengurusan PDRM untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Soal media, saya akan hubungi PDRM segera supaya jangan ada mana-mana sekatan kepada media seperti mana yang berlaku kepada Malaysiakini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan portal berita itu dilarang membuat liputan sebuah acara yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut portal itu lagi, larangan itu dikenakan walaupun undangan dihantar kepada mereka menerusi e-mel daripada Bukit Aman dan wakil portal itu turut memberi makluman balas berhubung akan hadir ke acara berkenaan.

Susulan itu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dalam kenyataan bersama Geramm menyifatkan tindakan seorang pegawai media Bukit Aman melarang wartawan portal Malaysiakini membuat liputan sebagai tidak profesional.

Kenyataan itu juga menegaskan Malaysiakini ialah anggota penuh NUJM.-BH Online