Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya ada satu penyelarasan berkesan dalam kalangan penguat kuasa pelbagai agensi bagi menangani ketirisan hasil seperti subsidi.

Perdana Menteri berkata, setiap agensi harus ada jaringan hubungan yang baik kerana satu badan penguat kuasa, tidak upaya melawan kelompok besar yang terbabit dalam jenayah berkenaan.

“Kita minta supaya penyelarasan penguat kuasaan (antara) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia, harus ada penyelarasan berkesan.

“Tak mungkin kita boleh selesaikan (masalah penyeludupan, ketirisan, kebocoran) dengan hanya satu penguat kuasaan sahaja kerana kita berdepan kekuatan yang luar biasa. Puluhan tahun nak rungkai (jenayah). Anggap satu tindakan yang mencabar kedudukan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, sekiranya berdepan sebarang isu berbangkit berkaitan penyelarasan itu, masalah terbabit perlu dibawa kepada menteri supaya dapat diselesaikan di peringkat Jemaah Menteri.

Mengenai keperluan mendesak berhubung pusat latihan penguat kuasa KPDN, Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa isu terbabit ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Katanya, antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah dengan menyelaraskan kerjasama bersama agensi lain supaya penguat kuasa KPDN dapat menggunakan pusat latihan mereka.

“Saya boleh jamin, minggu depan, saya bawa ke Jemaah Menteri untuk selaraskan. Adakan kerjasama dengan badan lain. Kemudahan itu dapat dimanfaatkan supaya penguat kuasa KPDN dapat gunakan, mudahkan latihan saudara.

“Oleh kerana rasional pusat latihan itu sangat mendesak, maka kita harus segerakan melalui peluang dan kemudahan sedia ada. Kita pinjam daripada jabatan (lain). Kita akan selaraskan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua anggota dan pegawai penguat kuasa memperbetul sebarang pelanggaran salah laku yang menjejaskan imej penjawat awam.

“Saya harap saudara memastikan ini. Ini peluang untuk kita. Betul saya berikan pengiktirafan kepada kejayaan saudara. Tapi jangan nafikan (berlaku pelanggaran) dalam setiap jabatan. Baik dalam kalangan orang politik, penjawat awam, sektor swasta atau penguat kuasa.

“Kita harus perbetulkan kelemahan kelompok kecil yang merosakkan imej kita kerana mereka melaksanakan tugas bertentangan dengan nilai keinsanan, moral dan akhlak. Sebab itu ada pelanggaran hukum,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, sebarang kecelaruan dan pelanggaran yang berlaku membabitkan penguat kuasa harus dihentikan.

“Saya mahu ketua jabatan di setiap daerah, jabatan, bahagian, unit, pastikan kalau ada pelanggaran, dilapor. Sebab itu dalam Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kita tetapkan, jika tak lapor, kita akan pastikan ketua unit itu diambil tindakan. Baru adil,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan portal Ihsan MADANI yang menjadi platform khusus untuk rakyat mengenal pasti inisiatif kerajaan yang boleh dimohon mereka.

Portal terbabit menjadi platform pusat sehenti untuk rakyat menyemak dan memohon bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan.-BH Online