Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri MuhyiddinYassin tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan pada 2022.

Ahmad Zahid berkata, jumlah berkenaan berkurangan apabila terdapat pertindihan Akaun Bersumpah (SD) antara PN dan BN.

“Sebenarnya dia (Muhyiddin) tidak cukup jumlah kerusi (untuk bentuk kerajaan). 

“Apa yang dikatakan oleh beliau (Muhyiddin) ini (Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) saksi hidup 115 SD yang dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada ahli Parlimen (BN) yang menandatangani dua SD.

“Dengan BN pun dia tanda tangan, dengan PN pun mereka tanda tangan. Itu sebabnya jumlah sebenar hanya ada 105 SD sahaja. 105 SD tidak cukup nak bentuk kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ucapan Muhyiddin ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di mana beliau mempunyai 115 SD ketika itu.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan dokumen mengandungi 115 SD ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Akuan Berkanun itu didakwa telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 tengah hari sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, SD yang ditandatangani oleh 10 ahli Parlimen BN tidak sah kerana mereka terikat dengan tiga dokumen yang ditandatangani ketika watikah pelantikan calon diberikan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) pada 2022 lalu.

“Setiap calon Parlimen BN perlu tandatangan tiga dokumen. Satu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan atau mewujudkan kerajaan campuran atau sebab tindakan bagi ke arah pembentukan kerajaan.

“Kedua, menandatangani dokumen bahawa kerusi yang dimenangi itu adalah kerusi parti dan bukannya individu. Dokumen ketiga jika mereka keluar parti atau menyokong pihak lain, mereka mesti membayar RM100 juta denda.

“Ketiga-tiga dokumen ini ditandatangani dan ia ditandatangani dengan rakaman video di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bersama tiga orang peguam. Jadi bagaimana kalau berlaku gila talak itu mahu menafikan situasi sebenarnya,” katanya.-BH Online