Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JAKARTA: Malaysia mengalu-alukan sokongan dan kerjasama Jepun dalam mempercepat usaha peralihan tenaga negara kepada penyahkarbonan dan mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar menjelang 2050, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang bertujuan mempercepat peralihan tenaga mendapat inspirasi daripada Mesyuarat Peringkat Menteri Komuniti Pelepasan Sifar Pelepasan Asia (AZEC) yang julung kali diadakan tahun lalu.

“Kami menjangkakan sumbangan AZEC akan memainkan peranan penting memacu anjakan ke arah penyelesaian tenaga lebih mampan dan rendah karbon yang penting untuk masa depan rantau ini,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas Mesyuarat Menteri AZEC Ke-2, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, mesyuarat yang baru berakhir itu telah mencapai objektifnya untuk mengukuhkan lagi kerjasama erat sedia ada, terutamanya meningkatkan tiga elemen penting iaitu keselamatan, kemampuan dan kemampanan.

Menurutnya, Malaysia, sebagai negara rakan AZEC, telah menyemak semula sasaran tenaga boleh baharunya, menyasar mencapai 70 peratus kapasiti dipasang menjelang 2050, peningkatan daripada sasaran sebelumnya sebanyak 40 peratus menjelang 2035.

Kerajaan Malaysia juga telah memulakan beberapa langkah utama, termasuk pelaksanaan projek solar secara meluas, penubuhan Energy Exchange Malaysia untuk menggalakkan jualan elektrik hijau rentas sempadan ke negara jiran, projek perdana NETR serta 50 inisiatif utama yang kini berada di landasan yang betul dan mencatatkan kemajuan yang baik.

Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang dijangka dibentangkan pada akhir tahun ini akan mengawal selia secara menyeluruh semua aspek CCUS.

Manakala, Rang Undang-undang Perubahan Iklim yang dijangka dimuktamadkan menjelang Jun 2025, akan memperkenalkan mekanisme kritikal seperti penetapan harga karbon untuk menangani dan mengurangkan kesan perubahan iklim, katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata, Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah bersama mesyuarat tahun depan dengan Jepun di Kuala Lumpur selepas mendapat kelulusan pada dasarnya daripada Kabinet baru-baru ini.

“Mesyuarat 2025 ini bukan sahaja mempamerkan komitmen kami terhadap penyahkarbonan tetapi juga komitmen kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga di rantau ini,” katanya.

AZEC dilancarkan oleh 11 negara pada 2023 sebagai platform untuk memajukan lagi penyahkarbonan di Asia ke arah matlamat keneutralan karbon sambil mencapai pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga, mewujudkan pelbagai laluan yang disesuaikan dengan keadaan setiap negara.-BERNAMA