NEW DELHI: Pengambilan pekerja dari India ke Malaysia akan lebih telus, adil dan teratur, selain mencegah amalan buruk seperti eksploitasi dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) baharu di antara Kerajaan Malaysia dengan India di sini pada Selasa lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata MoU asal sudah luput pada 2014, justeru menyebabkan selama hampir sepuluh tahun tiada garis panduan yang jelas untuk mengurus pengambilan pekerja dari India.
“Walaupun begitu, lebih daripada 133,000 pekerja India tetap memasuki Malaysia walaupun tiada garis panduan antara kedua-dua negara.nullnull
“Dengan termeterainya MoU baharu ini, pengambilan pekerja dari India kini akan lebih telus, adil dan teratur, sekali gus menghindari amalan buruk seperti eksploitasi pekerja migran yang boleh memberikan kesan buruk kepada negara dan pekerja tempatan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Sim mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke India, semalam.
MoU berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja itu melibatkan pertukaran dokumen di antara Sim dan Menteri Luar India, Dr. S. Jaishankar.
Anwar dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, bersama-sama menyaksikan pemeteraian MoU itu di Hyderabad House di sini pada Selasa.
Sementara itu, Sim berkata, MoU kedua ditandatangani di antara TalentCorp Malaysia dengan sebuah pusat pembangunan kemahiran di India, bertujuan membangunkan ekosistem latihan kemahiran bersepadu dan pemadanan pekerjaan.
Dalam sektor pengambilan pekerja, katanya enam sektor kritikal di Malaysia memerlukan pekerja migran dari India, antaranya perkhidmatan, perladangan dan pertanian.
Lebih 85,000 pekerja berkemahiran tinggi dari India kini bekerja di Malaysia dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.
Menteri Digital Gobind Singh Deo, yang memeterai MoU dengan kerajaan India berkaitan kerjasama dalam bidang teknologi digital, berkata agensi di bawah kementeriannya seperti MDEC memainkan peranan penting dalam melaksanakan kerjasama itu.
Beliau berkata MoU itu juga menekankan kepentingan membina bakat dalam bidang keselamatan siber di Malaysia, memastikan setiap syarikat mempunyai pendedahan mencukupi mengenai ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat. – BERNAMA