PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi memberi jaminan proses permohonan lesen penyedia platform media sosial dan sistem pesanan internet hanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari waktu bekerja.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan setakat ini dan menjangka proses itu akan berlangsung bermula Oktober atau November ini.
“Kita beri jaminan kepada (penyedia) platform media sosial memandangkan kita kenakan ini adalah ‘Class License’ maka prosesnya tidak sukar berbanding ‘lesen individu’.
“Jika lesen individu, ia mungkin ambil masa beberapa bulan untuk diproses, tetapi bagi ‘Class License’, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan akan ambil masa tiga hingga lima hari bekerja,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
MCMC memaklumkan, langkah itu akan dikuat kuasa 1 Januari depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diperkenal 1 Ogos lalu.
Katanya, penguatkuasaan itu selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau sentiasa mendapatkan taklimat daripada MCMC mengenai garis masa pelaksanaan pelesenan terbabit.
“Ada dua garis masa, pertama untuk pelesenan dan kedua mengenai membangunkan dokumen tatakelakuan bagi platform media sosial.
“Untuk membangunkan kod tatakelakuan, ada perbincangan akan diadakan bersama semua platform media sosial, semua pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan, ahli akademik dan pelbagai pihak,” katanya.- BH Online