Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) meneroka kerjasama baharu dengan Turkiye membabitkan semua aspek pertahanan termasuk kebolehoperasian ketenteraan, pendidikan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perkongsian risikan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian kerjasama itu akan dirangka sebelum dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua negara pada akhir tahun ini.
“Dalam pertemuan dengan rakan sejawat (Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler), kami membincangkan mengenai kerjasama kedua negara dalam industri pertahanan, pertukaran, latihan ketenteraan dan pendidikan.
“Semua ini sangat penting lebih-lebih kita ada pertukaran (perjanjian pertahanan) selain terdedah kepada pelbagai isu dan cabaran di kedua-dua negara serta rantau. Kita juga akan lebih memahami mengenai teknologi dan peralatan pertahanan kerana Turki antara pengeluar aset ketenteraan,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler sebagai lawatan balas kepada kunjungannya di Turkiye pada 11 Jun lalu.
Yasar bersama delegasi Turkiye tiba jam 10.45 pagi turut disambut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain kerjasama pertahanan dua hala, Turkiye turut menyatakan aspirasi untuk menjadi rakan dialog di Asean dan mengambil bahagian sebagai pemerhati dalam mesyuarat Menteri Pertahanan Asean.
Beliau berkata, perbincangan dengan Yasar juga menyentuh konflik yang berterusan di Palestin, dengan kedua-dua negara berkongsi pendirian yang sama.
“Kami berdua berkongsi pendirian bahawa terdapat keperluan untuk gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan berterusan daripada semua pihak. Bantuan kemanusiaan tidak harus disekat atau dihalang,” katanya.
Semalam, Yasar bersama Ketua Organisasi Perisikan Nasional (MIT) Ibrahim Kalin mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya.
Pada Jun lalu, Mohamed Khaled bersama delegasi Kementerian Pertahanan mengadakan lawatan kerja rasmi selama lima hari di Turkiye.
Ia adalah lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled ke negara berkenaan sejak dilantik Menteri Pertahanan, yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara selain menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kalinya.
Satu majlis menandatangani MoU kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk pertahanan serta perjanjian kolaborasi dan kerjasama membabitkan pemain industri pertahanan Malaysia-Turkiye turut dimeterai.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).
Dalam lawatan sama, Mohamed Khaled juga mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB), sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Turkiye untuk menguruskan industri pertahanan Turkiye dan pembekalan teknologi ketenteraan.
Beliau kemudian melawat beberapa syarikat pertahanan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS), Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) serta mengadakan pertemuan dengan syarikat DESAN Shipyard.-Harian Metro Online