Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pasir Mas: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan khidmat kaunseling terhadap suami dan anak-anak Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dibunuh kejam sebelum mayatnya ditemui pada 31 Disember lalu di Melaka.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya juga akan melihat keperluan lain termasuk pencen dan kebajikan terhadap anak-anak mangsa.

“Saya mewakili KPM hari ini hadir ke rumah Istiqomah untuk menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa.

“Dalam kesempatan ini saya turut menyampaikan sumbangan dan sokongan kepada keluarga serta akan mempertimbangkan beberapa aspek lain.

“Kita akan menyediakan kaunselor untuk keluarga dan berharap ia berkesan dan semoga keluarga tabah dengan ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Istiqomah yang juga seorang guru di Kampung Dangar, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian yang menimpa Istiqomah sangat memberi kesan kepada kementerian memandangkan beliau dimaklumkan mangsa seorang guru yang sangat berdedikasi selain komited dengan tugas.

“Allahyarham mengajar subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) di sekolah rendah dan beliau seorang yang komited serta berdedikasi dalam tugas,” katanya.

Terdahulu, guru wanita yang dibunuh kejam dengan mayatnya ditemukan tanpa kepala, kaki dan tangan di Melaka tahun lalu, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Kubang Badak, di sini.

Jenazah Allahyarhamah Istiqomah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas pada jam 11.50 malam tadi.-Harian Metro Online