Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara India di sini pada Isnin, untuk lawatan rasmi tiga hari bagi mengukuhkan hubungan 67 tahun Malaysia-India dan mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor untuk masa hadapan.

Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam, di sini pada jam 9.47 malam (12.17 tengah malam waktu Malaysia).

Mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Digital Gobind Singh Deo; dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Steven Sim.nullnull

Ketibaan Anwar disambut Menteri Kereta Api India, V Somanna, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Acara sambutan rasmi Perdana Menteri yang akan berada di sini dari 19-21 Ogos pada lawatan pertamanya ke India selepas memegang jawatan pada November 2022, akan berlangsung di pekarangan kediaman rasmi Presiden India Rashtrapati Bhavan di sini, diikuti mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatnya Narendra Modi pada Selasa.

Mesyuarat ini akan membolehkan kedua-dua pemimpin mengkaji semula kerjasama semasa dan meneroka inisiatif bagi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-India, yang telah dinaikkan kepada Perkongsian Strategik Dipertingkatkan pada 2015.

Kedua pemimpin itu juga akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Perdana Menteri dalam usaha memajukan lagi kerjasama ekonomi Malaysia-India akan turut menyertai mesyuarat meja bulat dengan beberapa pemimpin industri India.

Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia dan India mencecah RM76.62 bilion (AS$16.53 bilion), dengan Malaysia menikmati lebihan RM15.89 bilion (AS$3.43 bilion).

India adalah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit Malaysia dengan jumlah import RM11.31 bilion (AS$2.44 bilion).

Import utama Malaysia dari India termasuk produk petroleum (RM6.62 bilion atau AS$1.44 bilion) dan produk pertanian, termasuk daging halal (RM5.79 bilion atau AS$1.27 bilion).

Pada 2023, Malaysia adalah rakan dagangan ketiga terbesar India dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

Malaysia dan India mempunyai hubungan sejarah dan sosiobudaya yang rapat.

Pada ketika kedua-dua negara memasuki dekad kedua Perkongsian Strategik Dipertingkat tahun depan, lawatan Anwar dijangka membuka jalan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-India dengan merangka agenda kerjasama pelbagai sektor untuk masa depan.– BERNAMA