Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

New Delhi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Rashtrapati Bhavan, di sini, sempena kunjungan rasmi tiga hari ke India, hari ini.

Beliau tiba di Istana Presiden pada 9 pagi dan disambut rakan sejawatannya Narendra Modi.

Lagu kebangsaan kemudian dimainkan sebelum Modi diperkenalkan kepada menteri kabinet Malaysia.

Anwar kemudian meletakkan kalungan bunga di Gandhi Smriti, Raj Ghat iaitu pusara negara Bapa Negara India, Mahatma Gandhi, yang disemadikan pada 31 Januari 1948.

Beliau juga akan bertemu dengan Menteri Luar India dan seterusnya bersama Modi bagi pertemuan dua hala.

Lawatan berkenaan turut disertai Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital, Gobind Singh dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri turut menghadiri majlis menandatangani dan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan laporan Forum CEO Kedua India-Malaysia di Dewan Khailash di Hyderabad House.

Beliau kemudian diraikan pada majlis jamuan makan tengah hari dihoskan Modi dan mengadakan pertemuan dengan Presiden India, Droupadi Murmu di Rashtrapati Bhavan.

Anwar juga akan menyampaikan syarahan ke-50 Sapru House bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada acara anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India.

Lawatan rasmi hari kedua diakhiri dengan majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.-Harian Metro Online