Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) Pahang menyokong titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mahu siasatan dijalankan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Adun dan PN Pahang menzahirkan taat setia kepada baginda Tuanku Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota.

“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.-Harian Metro Online