Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan sewajarnya susulan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menzahirkan kemurkaan dan terkilan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 

“Saya pasti dengan titah sedemikian, pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius dan melihat apa yang wajar mereka lakukan,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini. 

Tengku Hassanal hari ini dilaporkan murka dan amat terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.-BH Online