Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang baru diluncurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipastikan keberkesanannya berbanding hanya tertumpu kepada pelaksanaannya.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan tidak seharusnya melihat hanya pelaksanaan pelan itu tetapi juga keberhasilannya.

“Petunjuk dalam menilai ia tidak seharusnya terletak pada perbelanjaan semata-mata, tetapi keberkesanan segala usaha yang diterapkan melalui pemantauan (untuk memastikan kejayaan pelan transformasi). 

“Oleh itu, kita harus mengiktiraf Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu dua agensi di bawah Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, masing-masing atas peranan sama dalam memastikan pelaksanaan PuTERA35 dengan sempurna,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran PuTERA35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Katanya, bagi memastikan matlamat itu tercapai, kayu ukur yang harus digunakan bukan lagi melalui indikator terhadap berapa banyak perbelanjaan yang dikeluarkan tetapi sejauh mana keberkesanannya usaha diterapkan melalui pemantauan.

“Enam bulan lalu pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), kita menekuni 10 saranan daripada kluster berbeza dan daripadanya kita memuktamadkan 97 resolusi terhadap agenda ekonomi Bumiputera sedia ada. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 93 daripada 190 adalah agenda baharu. Semua agenda ini bukan hanya sekadar diperkasakan tetapi kita akan meneliti serta melihat setiap butiran pelaksanaan kepada apa yang disampaikan melalui wacana terbaik KEB 2024.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang terus mengarahkan seminggu selepas kongres berlangsung bagi pewujudan Majlis Ekonomi Bumiputera,” katanya.

Dalam menjawab isu berkaitan isu wilayah terpinggir, beliau menjelaskan kesamarataan perlu diambil perhatian.

“Kesaksamaan harus diberikan keutamaan. Kita kagum dengan pencapaian Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju walaupun terdapat beberapa kekangan dalam pelaksanaannya. Jadi, negeri ini (Sarawak) contoh terbaik untuk diteladani. 

“Namun kita tidak boleh melakukan segmentasi dalam pencapaian ekonomi dan teknologi sahaja, kerana kita mesti melihat perimbangan dalam soal duniawi dan ukhrawi. 

“Ini di mana ‘spiritual happiness’ harus diimbangkan dengan ‘physical happines’. Kesilapan lalu yang dibuat kerana terlalu menumpukan ‘physical happiness’ namun sebenarnya yang penting ialah kepedulian ‘spiritual happiness’,” katanya.

Katanya, hal itu akan menimbulkan ketidaksamarataan dan ketidakpuasan antara warga dengannya akhirnya ia berbalik kepada tanggungjawab kerajaan.

“Mari kita bangun dan kembali membetulkan keadaan ini, agar kita dapat dokongan dari semua warga, semua sektor untuk menterjemahkan apa yang dipanggil sebagai PuTERA35,” katanya.-BH Online