Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JITRA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis akan memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memberi keterangan berhubung siasatan kenyataan dibuatnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu diminta memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis selepas ucapannya baru-baru ini, didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).

“Ada satu perenggan khusus di mana Tuanku (Tengku Mahkota Pahang) bertitah supaya polis menyegerakan siasatan dan itu terang pada pandangan baginda bahawa ada mempunyai elemen mengikut Akta Hasutan.

“Saya difahamkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sudah menetapkan satu tarikh di mana Tan Sri Muhyiddin akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Saya percaya Tan Sri Muhyiddin tidak sukar untuk beri kerjasama dan proses berkenaan akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya akan memanggil Muhyiddin pada 20 Ogos (esok) bagi memberi keterangan dan membantu siasatan sedang dilakukan pihak polis.

Katanya, sejumlah 29 laporan diterima polis daripada pelbagai pihak berkait ucapan Muhyiddin yang didawak menyentuh isu 3R ketika berkempen di PRK Nenggiri baru-baru ini.-BH Online