Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DUNGUN: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan sebanyak RM2.4 bilion untuk melaksanakan 23 projek di Terengganu, tahun ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata projek bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan skop berkaitan tebatan banjir, pemuliharaan hakisan pantai dan tebing sungai serta sistem saliran.

Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan itu membabitkan 18 projek sambungan dan lima projek baharu manakala peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan bawah Rolling Plan 4 (RP4) pada tahun ini adalah sebanyak RM328.3 juta.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dalam memastikan impak maksimum demi kesejahteraan rakyat serta merangsang ekonomi negeri Terengganu di samping mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir dan hakisan pantai.

“Kita akan ada lapan projek baharu di peringkat pra pelaksanaan dan antaranya adalah untuk kita bina infrastruktur (empangan) sabo di kawasan Hulu Terengganu yang pernah berlaku kejadian banjir luar besar pada 2022.

“Walaupun di Hulu Terengganu ini tiada pantai, ancaman berlaku banjir puing dan sebagainya masih ada. Sebab itu kementerian telah meluluskan untuk tahun ini di peringkat pra pelaksanaan yang mana kos keseluruhan itu kita jangka akan cecah RM30 juta.

“Sepatutnya memang tahun ini untuk pra pelaksanaan tapi kerja-kerja fizikalnya selalu mengambil tempoh (antara) enam hingga satu tahun selepas itu untuk kita mula melaksanakan kerja-kerja fizikal yang dijangka bermula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Projek-Projek Siap JPS kepada Kerajaan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Mohd Zawawi Ismail.-BH Online