GUA MUSANG: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri meluahkan rasa gembira dan teruja dengan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, malam tadi.
Mereka menyifatkan Mohd Azmawi Fikri adalah calon yang paling layak untuk memimpin di DUN berkenaan.
Penduduk dari Kampung Sungai Asap, Roslan Mustafa, 62, berkata kemenangan Mohd Azmawi atau mesra dipanggi Awie itu sudah dijangka dari awal.
“Kami sebagai pengundi memang sudah menjangkakan Awie akan menang memandangkan dia sudah dikenali penduduk kampung sejak sekian lama.
“Awie juga seorang yang baik dan sentiasa menyantuni penduduk, bukannya baru dikenali ketika sepanjang kempen ini.
“Semestinya saya cukup gembira dengan kemenangan Awie. Selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Asap, saya setia menunggu di sana sehingga selesai proses pengiraan kerana mahu mendengar keputusan di pusat mengundi itu,” katanya ketika ditemui di sini.
Penduduk Kampung Renok, Yusuff Hassan, 73, pula berkata sikap Mohd Azmawi seorang yang rendah diri setiap kali bertemu penduduk menyebabkan dia menjadi pilihan pengundi.
“Syukur akhirnya kami mendapat wakil rakyat yang cukup baik. Besar harapan saya Mohd Azmawi dapat bertugas dengan baik dan sentiasa menjaga kebajikan penduduk.
“Saya sendiri sudah berusia, namun saya kenal Awie kerana dia sentiasa turun padang,” katanya.
Terdahulu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri diumumkan secara rasmi menang
pada PRK DUN Nenggiri dengan menewaskan calon BERSATU mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu.
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, jam 9.35 malam tadi.
Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.-BH Online