KUALA LUMPUR: Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilangyang sedang dilaksanakan, dijangka bertambah rancak dalam tempoh seminggu menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata selain rumah, banyak bangunan kerajaan dan swasta juga telah mula mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing untuk bersama-sama menyemarakkan semangat Jiwa Merdeka.
“Kita mula dengan warga kementerian serta penjawat awam dan kita sentiasa memberikan peringatan. Saya percaya dalam seminggu dua akan datang, aktiviti mengibar Jalur Gemilang di rumah masing-masing akan semakin rancak, terutama menjelang 31 Ogos nanti.null
“Alhamdulillah, kita nampak sekarang ini banyak bangunan telah mula memperagakan Jalur Gemilang. Kita berharap program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan mencapai objektifnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan di sekitar Pasar Pagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.
Mengenai program itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata edaran Jalur Gemilang itu untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme penduduk setempat menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Justeru, beliau berharap usaha itu dapat menyuntik rasa cinta kepada negara dan rakyat, khususnya penduduk Lembah Pantai dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing.
“Sedikit peringatan, pastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan dalam keadaan baik, tidak lusuh, tidak koyak dan dipasang dengan cara yang betul.
“Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Jabatan Penerangan atau muat turun panduan terperinci tatacara untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Program dianjurkan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Komuniti MADANI Pantai Halt serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kira-kira 1,000 Jalur Gemilang dibekalkan untuk diagihkan kepada penduduk sekita, seperti peniaga dan pengunjung Pasar Pagi PPR Kerinchi.-BH Online