Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menekankan keperluan negara untuk mengubah perspektif terhadap syarikat pemula, dengan mengiktiraf potensi mereka dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, dengan adanya infrastruktur yang kukuh, keselamatan yang terjamin dan bakat yang mencukupi bersama ekosistem yang menyokong, syarikat pemula dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.

“Kepentingan kerjasama antara kerajaan dan industri ini untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh syarikat pemula dengan menyediakan sokongan yang diperlukan. 

“Fokus kerajaan terhadap infrastruktur, keselamatan dan pembangunan bakat adalah penting dalam memajukan ekonomi digital,” katanya semasa Majlis Pelancaran PACE Bootcamp di sini, hari ini.

Sementara itu, Gobind berkata, dengan menyokong usahawan untuk berkembang di luar sempadan dan menangani keperluan komuniti yang kurang diberi perhatian, kerajaan sedang mencipta ekonomi digital yang mampan dan inklusif di mana perkembangan ini tidak akan mengorbankan keselamatan siber dan data awam.”

Kementerian Digital tekad untuk menyokong lebih banyak pembangunan keusahawanan digital, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang menjadi tumpuan. 

“Kerajaan komited untuk menjadi peneraju AI serantau di mana Pelan Tindakan AI Negara merangkumi strategi untuk mengintegrasikan teknologi AI ke dalam pelbagai sektor. 

“Untuk memastikan pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab, kerajaan akan memperkenalkan rangka kerja tadbir urus AI yang komprehensif dan kod etika serta menubuhkan Pejabat AI Negara dan Institut Keselamatan AI untuk menyokong visi ini,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran firma teknologi global seperti Google untuk menubuhkan pusat data di Malaysia menujukkan negara mempunyai komponen penting untuk menjadi pusat pembangunan AI. 

“Dalam merapatkan jurang antara syarikat yang sedang berkembang dan pelabur global, kementerian berusaha untuk menarik pelaburan modal teroka (VC), menggalakkan penubuhan syarikat teknologi asing tempatan dan menguatkan ekosistem teknologi di rantau ini,” katanya.-BH Online