Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti kemungkinan akan membuat pelarasan gaji baharu bagi kakitangan awam negeri pada kadar lebih baik berbanding Kerajaan Persekutuan. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ketika ini kajian sedang dijalankan dengan membuat perkiraan berasaskan kadar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kakitangan awam Persekutuan, semalam. 

“Kita akan mengkaji kuantum pembayarannya kerana saya seperti mana yang saya katakan (sebelum ini) kita sedang mengkaji gaji perkhidmatan awam dan kita akan membuat perkiraan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri. 

“Setidak-tidaknya setaraf dengan yang diumumkan (Kerajaan Persekutuan) hari ini, kalau tidak pun mungkin baik sedikit,” katanya semalam.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan mengikut kaedah pelarasan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan iaitu secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini manakala fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026. 

“Ya, ..kita akan mengikut kaedah secara bertahap tetapi ia bergantung kepada kemampuan kewangan kita. 

“Cuma saya mengharapkan apabila gaji naik, perkhidmatan pun mestilah bertambah baik,” katanya. 

Mengulas lanjut, bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang lebih baik, Sarawak tidak melaksanakan kaedah berpencen sebaliknya menerusi kaedah Jawatan Berasaskan Caruman (JBC).