PETALING JAYA: Kementerian Digital yakin dapat memperoleh lebih banyak pelaburan digital pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh pertama.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata jumlah pelaburan digital Malaysia mencecah RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini, mengatasi RM46.2 bilion yang dicapai bagi keseluruhan 2023, disokong oleh dasar mesra perniagaan Kerajaan MADANI.
Katanya, pelaburan ini telah mencipta 25,498 peluang pekerjaan pada Separuh Pertama 2024, mengatasi jumlah 22,258 dalam tempoh yang sama pada 2023.
“Digital adalah bidang yang berkembang pesat dan menarik perhatian ramai. Kita akan melihat lebih banyak tumpuan diberikan dalam sektor ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara sekolah sains komputer, 42 Malaysia, yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Bhd secara kerjasama dengan Sunway Education Group, dan MyDIGITAL Corporation.
Gobind berkata bagi merangsang pelaburan dalam sektor digital, senarai harapan Belanjawan 2025 yang akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan akan merangkumi pengecualian cukai.
“Persoalan yang dibangkitkan adalah bagaimana kerajaan boleh membangunkan dasar mengenai insentif yang akan mendorong perniagaan untuk melabur. Jadi terdapat cadangan tertentu yang akan dikemukakan yang menumpu kepada percukaian.
“Saya fikir ia bergantung kepada sepantas mana kita boleh mendapatkan semua orang menggunakan teknologi kerana jika anda melihat jumlahnya, perusahaan kecil dan sederhana membentuk 97 peratus daripada industri negara.
“Jika semua mereka menggunakan teknologi dalam perniagaan mereka, negara akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi digital yang luar biasa,” katanya.
Gobind juga berkata kerajaan dan industri perlu menjalin perkongsian yang lebih kukuh lagi untuk mempercepatkan agenda digital nasional, antara lainnya, dalam penciptaan bakat, bagi menyokong industri yang berkembang pantas.
Katanya, gergasi teknologi seperti Google, AWS, Byte Dance, Nvidia dan Microsoft telah membuat pelaburan berbilion ringgit ke dalam sektor digital Malaysia dan akan memerlukan ramai pekerja mahir untuk menyokong operasi mereka.
Menurunya, MyDIGITAL dan 42 Malaysia akan memanfaatkan kemahiran antara satu sama lain untuk membangunkan bakat digital di Malaysia.
“Inisiatif yang dirancang termasuk penyelidikan dan pembangunan bersama, program pertukaran latihan rentas sempadan, bengkel kerjasama dan program latihan serta program kepimpinan digital eksekutif,” katanya.- BERNAMA