Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan reformasi bagi mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti, antaranya meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata seiring dengan peningkatan syarat lantikan itu, beban dan kerumitan tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan.

Jelasnya, ia akan menggalakkan penugasan berbilang dan kemahiran berbilang dalam kalangan pegawai sebagai pulangan kepada kerajaan.

“Selain itu, skim yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.

“Ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang seperti contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa serta meminda syarat lantikan bagi skim perkhidmatan supaya memperoleh bakat terbaik berkhidmat di dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

“Saya mahu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) melakukan audit perjawatan yang menyeluruh, bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi serta mengambil tindakan penyelarasan selanjutnya.

“Ini untuk memastikan beban tugas yang ditanggung adalah adil kepada kompleksiti dan bidang tugas yang diberikan kepada setiap unit, bahagian di kementerian atau agensi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan rasionalisasi pejabat perwakilan dan wakil agensi Kerajaan Malaysia di luar negara berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. 

Katanya, isu pertindihan fungsi dan peranan pejabat wakil agensi Kerajaan Malaysia di luar negara dan mekanisme terbaik untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dalam pengoperasian sama ada dari aspek sumber manusia dan fasiliti akan dilaksanakan dengan prinsip perkongsian.

“Sebagai contoh, agensi yang melaksanakan fungsi promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan, sewajarnya dipusatkan di bawah satu bumbung bagi mengoptimumkan kos operasi,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, JPA sedang mengkaji kebolehlaksanaan dasar kompetensi perjawatan bagi memastikan kenaikan pangkat dan penempatan pegawai adalah berpadanan dengan kompetensi sesuatu perjawatan.

“Semakan semula piagam pelanggan kementerian atau jabatan yang tidak lagi relevan juga akan dilaksanakan kerana piagam pelanggan yang menjadi panduan kepada penyampaian perkhidmatan haruslah sejajar dengan perubahan semasa dan lebih praktikal. 

Selain itu, peraturan dan pekeliling kerajaan membabitkan urusan dengan awam juga perlu disemak semula bagi mengelakkan kerenah birokrasi yang dapat menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan,” katanya.-BH Online