Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JELEBU: Perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara akan digantikan dengan bas baharu berwarna merah jambu sebagai langkah transformasi perkhidmatan berkenaan. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pengendali perkhidmatan baharu yang dilantik wajib menyediakan bas baharu dan bakal berdepan penalti jika gagal berbuat demikian.

“Semua tempat (seluruh negara) akan memiliki bas berwajah baharu ini. Pereka grafik yang membuat rekaan wajah baharu itu mencadangkan warna merah jambu sebab nampak lebih ceria. 

“Dulu warna bas yang gelap agak membosankan, jadi kita tukar kepada warna ceria dan terang supaya dari jauh sudah nampak bas itu, kita naik pun rasa gembira,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), di sini, hari ini.

Loke berkata, transformasi akan dilakukan di seluruh Semenanjung kecuali Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang kerana memiliki perkhidmatan Bas Rapid. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang melakukan transformasi berkenaan dan diteruskan ke negeri lain berdasarkan penamatan tempoh kontrak bagi perkhidmatan dengan syarikat sedia ada. 

Katanya, pihaknya mengutamakan syarikat pengendali yang dilantik dalam kalangan penduduk setempat berbanding syarikat bas nasional. 

“Ini kontrak pertama diluluskan dan kedua-dua operator dilantik di Negeri Sembilan adalah syarikat tempatan beroperasi di Negeri Sembilan iaitu di Jelebu sendiri,” katanya.

Loke berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM79.1 juta atau RM15.82 juta setahun untuk Pakej B bagi memastikan perkhidmatan SBST dapat mencapai matlamatnya di ketiga-tiga koridor iaitu Kuala Klawang, Kuala Pilah/ Bahau dan Port Dickson. 

“Secara keseluruhan, ia termasuk koridor Nilai, Seremban dan Tampin dengan Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM179.1 juta atau RM35.8 juta setahun bagi SBST Seremban. 

“Saya menggesa pengendali lain yang dilantik bagi program SBST ini menyediakan bas baharu dalam masa ditetapkan dan jika gagal, penalti yang berat akan dikenakan. Ini bagi memastikan bas baharu disediakan secepat mungkin untuk dinikmati rakyat,” katanya. 

Loke berkata, bagi membantu golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah, BAS.MY Seremban akan meneruskan inisiatif tambang percuma konsesi yang dilancarkan sebelum ini melalui BAS.MY Konsesi. 

“Golongan warga emas, OKU dan pelajar sekolah boleh menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan BAS.MY Seremban, dengan syarat golongan ini perlu mendaftar bagi menikmati tambang percuma ini,” katanya.-BH Online