Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi manfaat kepada hampir 500,000 guru serta kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM). 

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM bertekad untuk meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan di setiap peringkat.

Tambahnya, ia termasuk tekad untuk mereformasikan pendidikan negara seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri. 

“KPM menyambut baik amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA XIX). 

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah bersetuju melaksanakan pelarasan gaji kepada pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta pegawai kumpulan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, ” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas usaha untuk memperkenalkan kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran sebagai satu mekanisme pengukuran tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan, Fadhlina berkata, pendekatan itu dapat membantu meningkatkan produktiviti seluruh warga KPM. 

Oleh itu, beliau menuntut agar Agenda Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan KPM memperoleh komitmen jitu daripada seluruh warga pendidikan. 

Mengenai pengumuman Perdana Menteri untuk meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara, Fadhlina berkata ia dapat menjadi pendorong kepada murid untuk menamatkan persekolahan, sekurang-kurangnya sehingga peringkat SPM.

“Ia selaras dengan usaha berterusan KPM untuk memastikan murid melengkapkan persekolahan peringkat menengah dan menangani keciciran murid,” katanya. 

Bagi inisiatif untuk memperluaskan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada calon dengan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula, beliau berkata ia membuktikan komitmen kerajaan untuk menggalakkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

“Ia membuka laluan lebih luas kepada graduan Kolej Vokasional KPM untuk meneroka peluang pekerjaan dalam sektor awam,” katanya.-BH Online