Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia menjadi pemudah cara kepada mana-mana pasar raya besar jika mereka berhasrat membuka cawangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesediaan itu bagi membolehkan lebih banyak pasar raya dibuka seterusnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Dengan ada lebih banyak pasar raya dibuka di negeri tertentu termasuk di Sabah …ia bukan hanya memberi pilihan kepada pengguna tetapi mewujudkan persaingan yang sihat. 

“Contohnya harga ayam, melalui kaedah dan strategi pembelian ayam itu oleh Lotus’s dalam tempoh lama dan konsisten, ini membolehkan Lotus’s menawarkan penjualan ayam RM 6.99 sekilo, jauh lebih murah berbanding Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Sebab itu kita menjemput sekiranya mereka (pasar raya) boleh melaksanakan penawaran harga yang berpatutan mengapa mereka tidak meneroka pasaran di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 di Lotus’s Setia Alam, di sini, hari ini. 

Justeru, katanya, KPDN bersedia memberikan apa juga bentuk bantuan kepada pasar raya besar untuk memudahkan proses membuka cawangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Sekiranya Lotus’s atau mana mana pasar raya lain berminat dengan tawaran harga yang baik kepada pengguna, kita akan bantu sehabis baik untuk memudahkan proses membuka cawangan.

“Lesen sudah ada, urusan dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan cawangan KPDN di negeri terbabit …kita sedia memberikan apa juga bantuan untuk memudahkan proses itu,” katanya.-BH Online