Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan hampir 14,000 permohonan kewarganegaraan sejak ia diterima pada 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah itu, 75 peratus adalah mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Pendaftaran Kewarganegaraan Dalam Keadaan Khas yang terbahagi kepada tiga jenis permohonan.

Katanya, Perkara 15A merangkumi tiga jenis permohonan iaitu anak tidak sah taraf, anak jagaan dan anak angkat.

“Dibawah tajuk permohonan warganegara, dia datang dalam banyak perkara. Paling banyak saya buat keputusan adalah perkara di bawah 15A yang terbahagi kepada tiga jenis permohonan.

“Yang pertama anak tidak saf taraf, kedua anak jagaan dan ketiga anak angkat. Jadi ini yang paling banyak daripada 14,000 permohonan yang sudah saya berikan keputusan.

“Boleh dikatan hampir 75 peratus adalah daripada di bawah 15A,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra di pejabat PKR di sini hari ini.

Saifuddin berkata KDN turut meluluskan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kategori itu membabitkan anak berusia kurang 21 tahun, dimana isteri warganegara selain anak lahir di luar negara dan suami warga asing.

“Selain itu, permohonan kategori isteri warganegara asing yang berkahwin dengan suami warga tempatan turut diselesaikan sekiranya mereka tinggal dan sudah beranak pinak di sini selepas tujuh tahun,” katanya.

Sementara itu, berucap di majlis berkenaan, Saifuddin berkata, permohonan yang sudah diluluskan juga membabitkan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan MyKad.

“Permohonan terlalu banyak dan besar. Selama ini, dokumen (permohonan kewarganegaraan) tidak bergerak.

“Justeru saya sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah Kerajaan MADANI mempunyai sifat kasih, simpati dan belas kepada rakyat untuk meneliti seterusnya meluluskan permohonan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KDN memberi jaminan akan menyelesaikan sebanyak 14,000 kes permohonan warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sehingga Disember tahun ini.-BH Online