Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kabinet belum berbincang untuk menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau Superman Hew.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut perkara itu kerana masih belum dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

“Kita belum bincang lagi perkara ini dalam Jemaah Menteri, jadi saya tak boleh tambah (ulas lanjut) sebab belum dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan.

Pemuda UMNO sebelum ini mendesak kerajaan mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik tulisan bekas ahli DAP itu.

Mengakui tidak bersetuju dengan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik itu, ketuanya, Dr Akmal Salleh, berkata semakan semula keputusan terbabit adalah selaras kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata semakan semula keputusan itu adalah penting bagi mengelakkan ketidakadilan.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan bagaimanapun menghormati keputusan yang dibuat mahkamah berkaitan komik berkenaan.

“Itu adalah berdasarkan keputusan mahkamah. Kita hormat keputusan mahkamah tapi waktu ini belum lagi dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2022 memutuskan bahawa komik terbabit tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, permohonan kerajaan ketika itu untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik berkenaan gagal pada 8 Disember 2022.-BH Online