LANGKAWI: Sebanyak 133 koperasi sudah melanggan domain khas COOP.MY yang disediakan oleh MYNIC Bhd (MYNIC) sebagai usaha mendigitalisasikan perkhidmatan, produk dan pemasaran koperasi ke peringkat global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata angka itu masih rendah berbanding 15,000 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).null
“Sehingga hari ini, saya dimaklumkan oleh MYNIC iaitu agensi di bawah Kementerian Digital sebanyak 133 koperasi di negara ini telah melanggan domain COOP.MY untuk membangunkan laman web mereka.
“Jadi, harapan kita lebih banyak koperasi mengambil tindakan sama supaya memperlihatkan kesatuan koperasi di negara ini. Pada masa sama (kementerian) tidak menghalang jika mereka memilih domain lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) dan Program Transformasi dan Digitalisasi Koperasi (DigiKoP) di Auditorium Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, hari ini.
Ewon berkata penggunaan domain COOP.MY sebagai identiti digital mampu memberi impak terhadap pasaran perniagaan, disenarai tinggi dalam enjin carian, jaminan keselamatan dan pencarian lebih pantas di internet.
Pada program sama, beliau turut menyampaikan bantuan Jejak Koperasi (JEJAK) berjumlah RM200,000 kepada Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad sebagai sokongan kepada pembabitan koperasi itu dalam sektor pelancongan.
Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) turut diadakan di parkir LADA dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas harian yang mendapat sambutan penduduk.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Zamri Salleh dan Pengerusi Eksekutif SKM, Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal.-BH Online