Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.


“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 27 September depan.

Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Jun 2024 yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu.

DPPR berkenaan mengandungi seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Pelaksanaan PRK DUN N29 Mahkota memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 juta. 

“Seramai 1,126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 20 pusat mengundi biasa mengandungi 109 saluran dan tiga pusat mengundi awal bakal digunakan,” katanya. 

Beliau berkata, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan proses PRK itu. 

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding. 

“Pada PRK ini, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya,” katanya. 

Katanya, Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan adalah di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. 

Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman. 

Selain itu, beliau pernah dilapor mendapatkan rawatan di hospital, Mac lalu, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya. 

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang sejak 1993 adalah bekas Ketua Wanita Umno Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. 

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah Adun Penawar dari 2018 hingga 2022. 

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang juga bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.-Harian Metro Online