KUALA LUMPUR: Malaysia dan Brunei berikrar untuk mengukuhkan hubungan serta menerokai bidang kerjasama baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini telah mengakhiri lawatan kerja ke Brunei sempena Mesyuarat Ke-25 Pelaksanaan Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei (EOL-25).
Dalam lawatan dua hari itu, Mohamad telah menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dengan perbincangan mereka menyentuh kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama.
“Selari dengan iltizam untuk mengukuhkan lagi hubungan istimewa serta erat sedia ada, Malaysia dan Brunei menyatakan komitmen untuk terus meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Pada lawatan kerja itu, Mohamad dan rakan sejawat dari Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof, mempengerusikan bersama EOL-25.
EOL merupakan dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 2009 yang menggariskan bidang keutamaan dalam hubungan dua hala.
“Kedua-dua pihak berbincang mengenai kemajuan telah dicapai sepanjang pelaksanaan Pertukaran Surat, dan menerokai kerjasama baharu untuk terus meningkatkan hubungan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Kementerian Luar berkata, Malaysia dan Brunei sependapat bahawa perpaduan dalam ASEAN adalah amat penting untuk menjamin keamanan serta kemakmuran rantau Asia Tenggara.
“Brunei juga mengulangi sokongannya kepada Malaysia dalam usaha menjayakan Wawasan Komuniti ASEAN ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, tahun depan,” katanya.
Mohamad dan Erywan merupakan tetamu kehormat pada majlis makan malam memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dengan Brunei.
Majlis itu turut dihadiri pembesar Brunei, pegawai kanan Kerajaan Brunei, dan Ketua Perwakilan Asing. – BERNAMA