Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kutipan zakat Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada tahun ini merekodkan sebanyak lebih RM4.5 juta setakat bulan lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah kutipan berkenaan membabitkan seramai 14,376 orang.

Menurutnya, kutipan itu meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak hampir RM4.1 juta. 

“Ini adalah bertitik tolak daripada keyakinan masyarakat terutamanya di Wilayah Persekutuan terhadap ketelusan dan tanggungjawab MAIWP dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dalam menyantuni ummah.

“Saya harap lebih ramai penyumbang wakaf akan terus beri sumbangan, setakat tahun ini walaupun ada peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lalu 2023 tetapi jumlah kutipan masih lagi kecil. 

“Wakaf akan dijadikan instrumen penting dalam pembangunan ekonomi maka saya ajak rakyat Malaysia (dan) penyumbang wakaf dapat (mencari) pahala berterusan (dengan berwakaf),” katanya selepas merasmikan Surau Al-Marjan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman. 

Surau berkenaan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan hasil kutipan wakaf tunai khas yang memberi manfaat kepada 1,446 pelajar dan guru untuk beribadah serta menjalankan aktiviti kerohanian serta turut didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Mohd Na’im berkata, surau berkenaan adalah satu daripada enam projek wakaf MAIWP yang berjaya mendapat kutipan mencukupi merangkumi pelbagai sektor seperti ekonomi, kecemasan, kesihatan, pendidikan, hartanah, sains dan teknologi serta sosial.

“Kutipan wakaf dilaksanakan bermula 1 Mac 2022 hingga 28 Februari 2023 mengumpulkan sebanyak RM623, 807.90 dengan kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak antaranya MAIWP, PPZ-MAIWP, pewakaf serta guru, kakitangan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Batu Muda.

“Pembinaan surau ini menggambarkan bagaimana banyak perkara yang kita boleh buat dengan sumbangan wakaf diberikan masyarakat,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, PPZ-MAIWP juga melancarkan Kempen 1 Bulan 1 Wakaf Kempen yang berlangsung selama lima bulan bermula 1 Ogos hingga 31 Disember ini. 

Katanya, ia bagi mengumpul dana wakaf tunai menampung kos diperlukan bagi pembangunan, menaik taraf dan pembelian peralatan enam projek terpilih yang memerlukan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM21,952,350.-Harian Metro Online