Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Sebanyak 248 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Tanah, Alor Gajah di sini setakat 7.30 malam ini, berikutan banjir yang melanda kawasan itu susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berkata, 14 kawasan terjejas banjir membabitkan Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok.

Selain itu, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baharu Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Berisu, Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3 serta Taman Seri Aman turut terkesan akibat bencana itu.

“Setakat ini, PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 63 mangsa daripada 12 keluarga, PPS Perkim Masjid Tanah (empat mangsa daripada dua keluarga), PPS Balai Raya Kampung Ramuan China Besar (67 mangsa dripada 10 keluarga).

“PPS Balai Raya Ayer Paabas menempatkan empat mangsa dan PPS Taman Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu 2 (110 mangsa daripada 20 keluarga),” katanya.

Pihaknya menjangka terdapat pertambahan malam ini berikutan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih masih dalam proses mendaftarkan mangsa.

Sementara itu, Kerajaan Melaka akan menyalurkan bantuan segera RM300 kepada mangsa banjir di Masjid Tanah, Alor Gajah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata bantuan wang tunai akan disalurkan kepada mangsa yang mendaftar di PPS, justeru menyeru mereka yang terlibat untuk segera mendaftar.

“Saya minta semua mangsa banjir yang terjejas agar bertenang dan bersabar. Kerajaan negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah banjir di Masjid Tanah.

“Saya dan keluarga serta seluruh pentadbiran kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Kita berusaha untuk memastikan suatu kaedah baharu agar dapat menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di kawasan Masjid Tanah dan Melaka secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan malam ini. – BERNAMA