Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MARANG, 11 Ogos – Tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pelajar yang terbabit dalam gejala sosial, termasuk menghisap rokok elektronik atau vape di kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu tersebut dan akan sentiasa bertindak tegas mengikut garis panduan ditetapkan.

‘Secara keseluruhan, itu adalah langkah yang dijalankan dari semasa ke semasa, penegasan tentang garis panduan, penegasan tindakan disiplin dan peringatan.

“Begitu juga peranan pentadbir sekolah untuk mengingatkan anak-anak, pelajar berada dalam ekosistem sekolah, tetapi itu tidak cukup sebab ia memerlukan peranan ibu bapa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Marang, di sini.

Tambah Fadhlina, komitmen ibu bapa dan komuniti juga dituntut untuk mengawal selia anak-anak muda, agar trend pelajar bebas membeli produk vape dapat ditangani sebaiknya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM juga kekal tegas dalam tindakan tatatertib yang diambil berhubung isu kesalahan seksual melibatkan komuniti sekolah.

Katanya, sebaik sahaja Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran negara, KPM terus tegas dalam menangani isu tersebut menerusi pengeluaran dan pengukuhan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan di bawah KPM.-BERITA RTM