Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: RISDA menerusi pelbagai inisiatif memberi fokus membangunkan 82,882 pekebun kecil getah di Kelantan yang layak menerima bantuan membabitkan kawasan seluas 178,275 hektar tanaman getah di 11 jajahan di negeri itu.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, berkata usaha membangunkan pekebun kecil getah di negeri itu dijalankan menerusi Program Tanam Semula Getah agensi ini bagi memperkasakan lonjakan transformasi sektor pertanian.

“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Gua Musang, seramai 2,071 pekebun kecil getah di bawah seliaan RISDA membabitkan kawasan seluas 5,985.76 hektar.

“Program ini membabitkan 40 kampung, mencerminkan sektor penanaman getah sebagai sumber ekonomi penting bagi penduduk di kawasan ini,” katanya selepas Program Lawatan Kerja Pengerusi RISDA ke Gua Musang, semalam.

Sempena program itu, beliau turut menyantuni pekebun kecil dan usahawan termasuk di Kebun Tanam Semula Individu di Kampung Dalam Jelekang, Bertam Agro, Projek Agromakanan Internet Benda (IoT) 2023 di Bertam Lama dan Bengkel Pembungkusan Minyak Masak Cap Cincin di Bandar Baru Gua Musang Projek AET (Groom Big).

Manndzri berkata, daripada peruntukan sebanyak RM676 juta tahun ini bagi pembangunan pekebun kecil getah di seluruh negara oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sejumlah RM87.71 juta diperuntukkan untuk Pelan Pembangunan RISDA Kelantan 2024.

“Peruntukan ini (di Kelantan) merangkumi lima inisiatif utama iaitu Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil yang menerima peruntukan terbesar sebanyak RM45.51 juta termasuk aktiviti tanam semula dan bantuan angkutan pedalaman.

“Peruntukan ini juga membabitkan inisiatif Peningkatan Produktiviti Getah (PROGET) sebanyak RM4 juta, diikuti Peningkatan Produktiviti Lateks (PROTEKS) dengan nilai RM160,000 dan Pembangunan Semula Hasil Baharu dengan nilai RM3.56 juta,” katanya.

Manndzri berkata, daripada peruntukan itu juga sebanyak RM1.1 juta disedia untuk Program Rawatan dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP).

Mengenai fokus bantuan di Gua Musang dan DUN Nenggiri, beliau berkata, setakat suku kedua tahun ini, RISDA Jajahan Gua Musang memperuntukkan RM3.3 juta untuk disalurkan bagi dimanfaatkan 6,985 pekebun kecil.

Beliau berkata, bagi DUN Nenggiri, sebanyak RM1.89 juta telah dimanfaatkan 314 pekebun kecil setakat ini menerusi program tanam semula getah, khidmat pengembangan, produktiviti pemasaran serta pembangunan usahawan.

“Sebanyak RM1.62 juta disalurkan melalui program pembangunan penanaman getah di kawasan kebun getah seluas 595.57 hektar membabitkan 296 pekebun kecil.

“Sebanyak RM115,420 disalurkan untuk aktiviti pencegahan bagi LDP dan RM69,860 bagi tujuan khidmat nasihat dan tunjuk ajar meningkatkan kecekapan pengurusan kebun getah oleh pekebun kecil melalui program khidmat pengembangan,” katanya.

Manndzri berkata, program pembangunan usahawan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Agromakanan menerima peruntukan RM267,250 bagi 18 pekebun kecil sebagai penerima manfaat.

Sementara itu, pekebun kecil di Kampung Jelekang, Bertam, Nenggiri, Zawiyah Jusoh, 71, berkata beliau mengusahakan tanah getah seluas 2.4 hektar sejak 33 tahun lalu dan menerima manfaat inisiatif dilaksanakan RISDA.

“Saya bersyukur kerana RISDA banyak membantu dan membolehkan saya menjana pendapatan harian di tanah tinggalan arwah suami untuk membesarkan enam anak melalui Program Tanam Semula agensi ini,” katanya.– BERNAMA