Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kulim: Polis mengesan terdapat penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian untuk menggunakan akaun bank mereka. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pelajar terbabit berdasarkan pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap pemegang akaun bank jika membenarkan pihak ketiga menggunakannya.

“Ada kes membabitkan pelajar universiti yang membenarkan akaun mereka, instrumen pembayaran dan kad, digunakan oleh sindiket penipuan.

“Kita boleh ambil tindakan ke atas akaun mereka dengan pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan membolehkan tindakan diambil ke atas individu yang membenarkan akaun dan instrumen kewangan miliknya diguna pakai oleh sindiket,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sua Mesra bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Koperasi Mukim Sidam Kanan, Kampung Guar Lobak, Padang Serai di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kes penipuan dalam talian meningkat saban tahun biarpun terdapat hebahan dan kempen kesedaran kepada rakyat. 

Katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memberi lebih banyak kempen kesedaran kepada rakyat agar tidak terus menjadi mangsa.

“Saya tidak perlu ada ‘denial syndrom’ (sindrom penafian), trend memang meningkat berdasarkan aduan yang diterima, sebab itu langkah yang dibuat satunya menerusi pindaan Kanun Keseksaan yang diluluskan di bawah Seksyen 424.

“Pindaan tatacara jenayah pula membolehkan seorang polis berpangkat sarjan apabila menerima aduan mengenai jenayah penipuan dalam talian yang membabitkan akaun mangsa, bila mangsa membuat aduan di talian 997 (Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)), dengan pindaan terbaru, anggota berpangkat sarjan itu boleh bertindak membekukan akaun terbabit,” katanya.

Terdahulu Saifuddin melancarkan Skuad Antidadah cawangan Padang Serai yang menjadi cawangan pertama ditubuhkan mengikut kawasan parlimen di seluruh negara.-Harian Metro Online