KUALA LUMPUR: Setiap kementerian akan mengumpulkan data berkaitan prestasi Ekonomi MADANI untuk dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan, 17 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beberapa dasar diumumkan selepas setahun Ekononi MADANI dilancarkan pada Julai tahun lalu termasuk Dasar Gaji Progresif dan kenaikan gaji penjawat awam, selain langkah pemulihan ekonomi serta usaha menarik pelaburan.
“Insya-Allah, semua kementerian akan cuba kumpulkan data itu dan kita serah kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan nanti,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Ahmad Jefry Aziz@Adan, memaklumkan Perdana Menteri akan menyampaikan amanat dan Laporan Setahun Ekonomi MADANI pada majlis penutup PMR 2024 Zon Selatan pada 17 Ogos ini.
null
Beliau berkata, ia adalah acara kemuncak program itu yang berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Fahmi berkata, sejak setahun lalu, di bawah pentadbiran MADANI pimpinan Perdana Menteri, pelaburan ke dalam negara meningkat dan jumlah syarikat pelaburan yang disenarai bagi setengah tahun pertama lebih tinggi, berbanding beberapa negara ASEAN lain.
“Nilai mata wang mengukuh, inflasi kekal rendah dan kemungkinan tidak lama lagi, Jabatan Perangkaan akan terbitkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini,” katanya.
Kerangka Ekonomi MADANI dilancarkan pada Julai tahun lalu, menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Tujuh petunjuk itu adalah Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia, 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan, penyertaan wanita dalam tenaga kerja mencapai 60 peratus, 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia, 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dan mencapai kemampanan fiskal dengan defisit fiskal sebanyak tiga peratus atau lebih rendah.-BH Online