Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) masih menunggu laporan lengkap kes seorang remaja perempuan menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, kelmarin termasuk status sama ada masih bersekolah atau sebaliknya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kejadian yang mengejutkan itu dapat dielakkan sekiranya pemantauan ketat dilakukan pihak keluarga.

“Masih dalam siasatan kerana pastinya apa yang berlaku itu sangat mengejutkan kita. Beberapa pihak perlu ambil tanggungjawab penuh seperti ibu bapa dan pihak yang terlibat keseluruhan dalam kes ini.

“Saya percaya ia tidak seharusnya berlaku sekiranya kalau ada pemantauan yang ketat dari keluarga masing-masing. Jadi ibu bapa, saya seru sama-sama ambil perhatian penuh dan tanggungjawab dimana anak kita berada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan dan hendak memasuki bilik bedah Hospital Sultan Idris Shah.

Remaja itu ditahan di lobi hospital kira-kira jam 9 pagi ketika cuba mendaftar di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.

Sementara itu, Fadhlina berkata pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap berhubung kejadian serangan terhadap dua wanita termasuk seorang guru di Kelana Jaya, Selangor, tengah hari semalam.

“Saya ingat perkara ini dalam siasatan dan sekiranya ada perkembangan, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa. Jadi kita bagi ruang dulu untuk siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Kita pantau rapatlah kes ini supaya kejadian-kejadian seperti ini tidak berlakulah khususnya di tempat-tempat awam. Kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Fadhlina dalam masa sama turut menggesa pihak sekolah terus meningkatkan aspek kawalan keselamatan di premis pendidikan masing-masing.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan pelajar, guru dan kakitangan selamat dan tidak menjadi mangsa serangan penjenayah.