KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk meminda undang-undang bagi mengelak tanah yang digunakan untuk manfaat awam diambil secara mudah pihak lain khususnya syarikat swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata amalan pengambilan tanah seumpama itu jika dibiarkan akan memberi implikasi sangat serius dan boleh menyebabkan negara huru hara.
“Tanah Semantan (Estate Sdn Bhd (SESB)) itu mestilah sebab tanah itu diambil untuk kegunaan awam. Badan-badan kerajaan dan sebagainya bukan untuk swasta. Tetapi hakim mungkin tertakluk pada undang-undang yang ada.
“Saya cadangkan kepada Jemaah Menteri lihat semula undang-undang ini. Kalau semua guna kaedah prinsip yang ada sekarang ini di mahkamah, akan huru-hara negara.
“Jadi itu sebab mengapa kita harus teliti semula, kita patuh dengan keputusan kehakiman, tetapi yang dimohon oleh kedua-dua pihak, sedang runding tiga bulan, tidak dipersetujui. Jadi kita juga akan lihat implikasi undang-undang dan implikasi kepada negara sangat serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Anwar diminta mengulas keputusan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin, yang memerintahkannya untuk memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu di sini kepada SESB.
Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut Anwar berkata, Jemaah Menteri akan meneliti lanjut isu pindah milik tanah ini minggu depan, khususnya dalam melihat keadilan yang wajar kepada semua pihak, memandangkan tanah-tanah ini turut menempatkan ratusan ribu orang.
“Kalau prinsip (ambil tanah sekarang) ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak merdeka atau sebelum merdeka, diambil untuk tujuan kerajaan, diambil alih oleh sektor swasta, atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian.
“Pada minggu-minggu berikutnya, tukar kepada tanah industri. Jadi orang yang jual pada harga yang sangat rendah dan dapat sangat tinggi. Itulah sebabnya kenapa kita perlu, kita faham keputusan itu, tetapi kita kena lihat. Kabinet perlu bincang minggu depan,” katanya.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Kerajaan juga sudah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.-BH Online