PUTRAJAYA: Lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke Hong Kong baru-baru ini berjaya meneroka era baharu kerjasama dalam sektor undang-undang.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri melalui kenyataan hari ini, berkata lawatan kerja dua hari itu susulan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Timbang Tara (Pindaan) 2024 di Parlimen pada 16 Julai lalu yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat utama timbang tara antarabangsa dan penyelesaian pertikaian.
Azalina yang mengetuai lawatan kerja itu mengadakan pertemuan bersama pegawai tinggi kerajaan dan beberapa institusi timbang tara terkemuka untuk meningkatkan lagi hubungan kerja serta perkongsian pengetahuan.
Lawatan dimulakan dengan sesi kunjungan hormat ke atas Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, John Lee Ka-Chiu bagi membincangkan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Hong Kong serta mengeratkan kerjasama khususnya dalam aspek perkongsian sektor perundangan sebagai antara hab terkemuka di Asia untuk penyelesaian pertikaian alternatif.
Turut diadakan sesi pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Kehakiman Hong Kong, Horace Cheung Kwok-Kwan; Setiausaha Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang Hong Kong, Wesley Wong serta wakil Dewan Perniagaan Hong Kong.
Azalina turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu antara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Hong Kong (HKIAC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia.
“MoU ini pada dasarnya mewakili visi bersama HKIAC dan AIAC dalam memperkukuh kerjasama bagi menggalakkan timbang tara serta inisiatif pembinaan kapasiti yang memenuhi kepentingan terbaik komuniti penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) global,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Azalina mengadakan pertemuan dengan komuniti timbang tara di Hong Kong termasuk Pusat Timbang Tara Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa China Hong Kong serta Pusat Timbang Tara Serantau Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) Hong Kong.
Sesi pertemuan itu memberi peluang mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap peranan dan keluhuran timbang tara antarabangsa, peraturan yang sesuai bagi pembiayaan pihak ketiga, kepentingan etika dalam kalangan penimbang tara serta perkongsian pengalaman Malaysia melalui tuntutan pihak Sulu melalui timbang tara antarabangsa.
Azalina turut melancarkan video penerangan baharu kes Sulu kepada diaspora Malaysia di Hong Kong.-BH Online