GUA MUSANG: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan peneroka FELDA di Dewan Undangan Nenggiiri (DUN) Nenggiri supaya tidak tertipu dengan janji dibuat pihak luar.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hanya Kerajaan Pusat yang terbukti menjaga segala kebajikan FELDA, sedangkan pihak luar hanya datang untuk menabur janji ketika pilihan raya semata-mata.
“Jika ada pihak luar mahu rosakkan FELDA, saya minta peneroka di sini tolaklah mereka kerana yang menjadi mangsa adalah peneroka di FELDA Perasu.
“Mereka hanya datang berkempen dan sebaik tamat, mereka pulang ke tempat masing-masing. Jadi fikir secara waras.
“Insya-Allah saya saya akan bantu peneroka FELDA,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra ‘Peneroka & FELDA Berpisah Tiada’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berjanji akan sentiasa menjadikan FELDA sebagai keutamaannya.
Katanya, banyak permohonan termasuk membabitkan rumah generasi kedua FELDA yang diterimanya.
“Hari ini saya tidak mahu berjanji ketika PRK. Namun saya minta semua pihak yakinlah kepada saya dan berdasarkan pengalaman, sekali saya berazam saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.-BH Online