PUTRAJAYA: Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur RM120 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang, demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF).
GLIC berkenaan ialah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Komitmen bagi pelaburan langsung domestik (DDI) itu adalah di bawah fasa pertama Program GEAR-uP yang dilancarkan kerajaan untuk menyelaraskan usaha merentasi GLIC bagi memangkin pertumbuhan di sektor utama ekonomi dan ia adalah sebahagian daripada kerangka Ekonomi MADANI.
Komitmen pelaburan RM120 bilion oleh GLIC itu juga adalah di samping pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.
MOF dalam satu kenyataan berkata, komitmen pelaburan itu disasarkan kepada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.
Katanya, ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat terbabit.
Ia berkata, pelaburan itu menjadi teras utama bagi program GEAR-uP dengan tujuan untuk memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara.
Jelasnya, GLIC itu akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu ‘Menaikkan Siling’ kedudukan ekonomi negara dan ‘Menaikkan Lantai’ kualiti hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi mencapai sasaran kerangka Ekonomi MADANI, terdapat keperluan untuk menggerakkan semua pihak di seluruh negara dan ia juga termasuk pihak korporat.
“Melalui pembabitan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem ekonomi baharu,” katanya selepas taklimat berkenaan program itu di sini, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai lebih RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, GLIC itu mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat.
Setiap GLIC akan mempunyai bidang tumpuan masing-masing untuk menerajui program GEAR-uP dengan Khazanah akan mengorak strategi pelaburan berpaksikan ‘Negara yang Mencipta’ bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing negara.
Bidang tumpuan utama termasuk transformasi firma untuk memperkasakan nilai, peralihan tenaga, pendigitalan, pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran serta menerajui usaha untuk meningkatkan ketersambungan Malaysia melalui portfolio penerbangannya.
Khazanah akan memastikan daya tahan ekosistem sektor semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan dan melabur di ekosistem modal teroka.
Pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital (PK) baru-baru ini antara langkah untuk membentuk ‘National Fund of Funds’ yang bakal memperluaskan akses modal bagi syarikat pemula, memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
KWAP pula memperkasakan pasaran swasta Malaysia merentasi ekuiti swasta, prasarana dan hartanah, dengan tumpuan kepada pemberian dana pemangkin untuk modal teroka serta firma peringkat pertumbuhan melalui Dana Perintis dan Dana Pemacu.
PNB akan memodenkan industri dan sektor korporat Malaysia dengan menggalakkan tumpuan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi serta mampan, dengan tumpuan khusus kepada pelaburan dalam taman perindustrian baharu, menyokong usaha automasi dan pertanian pintar dalam kelapa sawit serta aset tenaga hijau dan peralihan tenaga.
KWSP pula menumpukan kepada pemesatan masyarakat menua yang bermaruah serta makmur, dengan membabitkan pelaburan dalam penyelesaian kesihatan mampan yang berdaya maju dari segi komersial menerusi kerjasama dengan kerajaan, termasuk membina sayap swasta di hospital awam sejajar dengan agenda Transformasi Kesihatan yang didukung oleh Kementerian Kesihatan.
TH akan meluaskan peranan bank Islam termasuklah melalui memperkasakan impak sosial lestari melalui instrumen kewangan Islam bagi pengagihan bantuan secara lebih teratur kepada golongan miskin dan menguatkan sistem kewangan Islam melalui kerjasama strategik dengan lain-lain institusi serta pemain industri kewangan Islam utama.
LTAT pula akan meningkatkan daya cipta nilai industri farmaseutikal Malaysia dengan memperluaskan kapasitinya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan.-BH Online
