Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kesal dengan penjelasan Meta Platforms Inc (Meta) yang menyekat siaran langsung RTM di platform Facebook berkaitan Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad lalu.

Beliau berkata, penjelasan Meta itu tidak boleh diterima sama sekali sedangkan pemakluman sudah diberikan lebih awal supaya meminta kerjasama mereka untuk tidak memastikan berlaku gangguan.

“Mereka ada memberikan penjelasan, tapi saya dalam bab ini tidak boleh terima penjelasan mereka. Mereka mengatakan ada isu hak cipta membabitkan satu lagu dinyanyikan oleh Faizal Tahir.

“Tapi kenapa hanya siaran dari berita RTM disekat, bukan (media lain) sebagai contoh Harian Metro, ia bersiar seperti biasa dan tak ada sekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, Meta memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil tidak akan diturunkan.

Beliau berkata, jaminan itu diberikan oleh pegawai tertinggi Meta, bagi memastikan kelancaran siaran langsung tanpa sebarang gangguan bukan sahaja di platform media sosial pemimpin negara, tetapi juga oleh pihak media.

Ditanya reaksi wakil Meta ketika beliau menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan diberikan, Fahmi berkata, wakil syarikat itu sekadar tersenyum.

Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, cadangan supaya kerajaan membangunkan platform media sosial sendiri untuk kegunaan rakyat Malaysia, bukan menjadi keutamaan pada waktu ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menghalang mana-mana pihak khususnya swasta yang berhasrat membangunkan platform berkenaan.

“Kita tahu untuk mewujudkan bagi sejumlah rakyat pada ketika kerajaan perlu menyelesaikan banyak masalah seperti sekolah daif, klinik daif, saya lihat keutamaan bagi kerajaan bukan dalam membangunkan satu platform media sosial yang baharu, bukan untuk waktu ini.

“Tetapi sekiranya ada mana-mana pihak swasta di Malaysia yang berhasrat untuk membangunkan, itu terpulang kepada mereka. Kita tidak melarang dan mereka boleh berhubung dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.-BH Online